Isnin, Ogos 24

Pentingnya pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Melayu

Okay, aku bergurau. Tajuknya hanya gimik politik. Menambah pelawat ke sini. Konon. Aku mahu bercerita ketika aku dan abang aku menonton televisyen, aku kira sebelum alaf baru dahulu. Seingat aku.

Gameshow. Pengacaranya seorang Cina. Tapi berbahasa Melayu. Permainan bercorak papan, yang kau golekkan dadu dan gerakkan plastik kecil mengikut bilangan yang terhasil pada dadu. Tapi kali ini manusia.

Permainan ini dimainkan oleh dua orang. Dan ketika itu, pengacara menemuramah seorang pemain. Cina.

Awak datang dengan siapa? Tanya pengacara itu.
Dengan kakak ipar. Jawab pemain.
Di mana kakak ipar awak? Hai kakak ipar! Pengacara itu, lagi.

Lalu si pemain menunjukkan arah kakak iparnya berada. Seorang lelaki Cina melambai. Lelaki? Sampai sekarang aku masih bergelak ketawa dengan abang aku.

Hahaha..

Sabtu, Ogos 22

Jenaka dalam serius, salahkah?

Serius. Bagi aku akan mendatangkan rasa tekanan. Aku lalui berbagai tekanan, dan aku hadapinya dengan memendam. Ya, atau mungkin aku luahkan kepada sesetengah insan. Aku luahkan tanpa nama. Untuk elakkan daripada memakan daging saudara sendiri. Lebih enak jika makan nasi goreng daging merah, bukan?

Oleh sebab aku sentiasa tertekan. Kebanyakkan masa aku tertekan. Aku cuba keluar dari kotak yang penuh dengan tekanan berunit Paskal dengan mengolah jenaka. Aku harap tindak balas sekurang-kurangnya kuntuman senyuman keluar dari bibir kau. Tapi tidak, ada yang memilih.

Sesetengah orang memilih orang untuk dia berjenaka - yang setaraf. Dia merasakan dirinya tidak layak berjenaka dengan orang yang tiada pangkat. Orang yang tiada pangkat itu perlu berbahasa dengan hormat kepadanya. Perlu sentiasa serius.

Sikap memilih rakan ini aku rasa sangat tidak patut. Lebih-lebih lagi kepada orang yang aku kira punya latar belakang islamik yang agak kemas berbanding aku - walaupun aku pernah menyertai usrah. Masih ada ilmu yang aku ingat, bukan semuanya aku lupa. Bukan.

Artikel ini aku tujukan kepada diri aku, dan juga sesiapa saja yang mengeja sehingga ke frasa ini. Menegur itu tiada salahnya, tapi perlu berhikmah. Mana perginya gaya islamik yang kau agung-agungkan itu? Islam penuh dengan hikmah. Senyuman.

Salam Ramadhan. Jangan lupa berniat. Aku hampir lupa. Hampir.

Ahad, Ogos 16

Salah siapa?

Andai kata ada gelas di lantai. Dan seorang tua tersepak. Majoriti orang tua akan berkata. Siapa letak gelas merata-rata ni? Marah.

Tapi, kalau seorang muda pula yang tersepak. Majoriti orang tua akan berkata. Mata kau letak kat mana? Marah juga.

Bila masanya tiada kemarahan? Sadis, kan? Apa-apa pun, kita perlu menghormati orang tua.

Jumaat, Ogos 14

Hadiahkan aku iPhone 3GS, owh!

Aku memang sukar untuk menyertai pertandingan-pertandingan di laman sawang. Tapi entah kenapa kali ini aku mahu cuba, walaupun aku pasti, berjuta umat manusia juga sertainya. Aku mahu berpegang pada nasib mungkin.

Lagi satu, memang aku gilakan iPhone 3G. Jika kau tegar membaca blog ini, aku tekankan berkali-kali mengenai kegilaan aku terhadap iPhone 3G. Kalau 2G pun tak apa lah. Asalkan ianya iPhone, dan tangan aku terketar-ketar akibat sindrom gilakan iPhone 3G yang memang hampir mustahil untuk aku dapatkan. Aku sahut peluang ini, mana tahu, nasib.

Aku suka pertandingan ini kerana ia memilih pemenang secara rawak. Itu pun kalau adil lah, kan? Bukannya secara menilai PR blog, yang sudah tentunya blog aku ini paling terkebelakang. Juga bukan dengan menilai seramai mana manusia gila iPhone datang dari blog aku ke laman sawang Exabytes. Jika kedua-dua kriteria ini diambil kira, pasti, aku tak sertai kerana aku tahu kekalahan aku.

Kau mahukan iPhone 3G juga? Lihat penjuru atas sebelah kanan, cuba kau klik skrol tetikus kau. Ianya akan bawa kau kepada tab baru. Aku tak mahu kau tinggalkan blog ini, sebab itu lah aku mahu kau buka tab baru, hehe. Seterusnya, isi butir-butir peribadi. Owh ya, jangan lupa isikan email aku pada ruang referrer. muhdzahari[at]gmail[dot]com. Jika kau menang iPhone 3G, referrer kau juga akan menanginya. Aku tak mahu kau dapat seorang saja dan menunjuk-nunjukkan iPhone 3G kau kepada orang kampung. Orang kampung aku juga sedang beratur menantikan iPhone 3G digenggam di kawasan terpencil itu.

iPhone 3G! Tunggu aku genggam kau erat-erat. Biar ada wajah-wajah dengan dahi berkerut-kerut memandang aku dengan rasa cemburu. Ya, cemburu. Aku mahu buat kau sakit hati, haha.

Sebelum terlupa, merokok tak pernah beri kau peluang menang iPhone 3G!

Rabu, Ogos 12

Maafkan aku

Setia atau tidak kau datang ke sini. Kerap atau tidak, aku masih perlu memohon maaf. Aku rasa karya aku kebelakangan ini kurang kualitas. Aku tidak mahu percuma kan waktu kau di sini tanpa memberikan suatu yang berkualitas. Aku akan cuba hasilkan penceritaan yang terbaik.

Maafkan aku.

Berterus teranglah.

Malam tadi, aku rancak berbicara dengan rakan yang agak lama tidak makan bersama seperti malam tadi. Kami berbicara, segenap subjek. Subjek wanita tidak diberi pengecualian, juga turut disentuh kami. Dia bicarakan suatu peristiwa.

Aku namakan lelaki dalam kisah ini Fahrin. Bukan nama sebenar. Fahrin pada saat itu mula meminati rakan sekampungnya, yang belajar di institusi yang sama. Linda, juga bukan nama sebenar. Fahrin mula mengatur ayat pada setiap pesanan ringkas yang dihantarnya kepada Linda. Mengatur ayat yang punya maksud. Kau faham, bukan? Tapi Linda seakan-akan tiada tindakbalas. Malar. Walaupun dimanipulasikan oleh Fahrin. Fahrin akhirnya berputus asa. Jatuh, semangatnya. Lalu tinggalkan perbicaraan itu dengan tanda tanya.

Beberapa ketika berselang, masa di antara minggu. Sepupu sepapat Fahrin ingin memperkenalkannya kepada seorang wanita lain. Aku namakan sebagai Scha. Fahrin ambil kesempatan tersebut, walaupun belum pernah bersemuka. Macam aku juga masa muda-muda dulu, haha. Tambahan pula Linda tidak memberi tidak balas. Scha memberi tindakbalas sangat positif. Seperti ada mangkin lain yang membuatkan tindakbalas kimia itu menjadi. Lalu sah, Fahrin dan Scha berkasihan.

Dua atau tiga minggu kemudian, Linda mencari-cari Fahrin. Mencari dan meluahkan perasaan. Tiba-tiba rasa itu ada, sedangkan tiada rasa baginya pada minggu-minggu lalu. Fahrin mula gelisah. Perlukah dia terus bermain perasaan kedua-dua wanita, atau berterus terang kepada Linda yang dia sudah ada Scha. Linda ajak keluar, duduk bersama petang itu. Dan Fahrin mula mengatur bicara untuk berterus terang. Linda mula nampak masam. Mencuka. Tapi salah siapa?

Okay, aku tinggalkan pertanyaan itu kepada kau. Bagi aku, jika Linda punya perasaan, kenapa tidak dia menjawab "Ya" dahulu? Jika masih tidak pasti, minta sedikit masa dengan Fahrin untuk berfikir. Seperti gadis cumel pernah buat pada aku dulu. Seminggu, beliau tidak mencari aku. Dan beliau beritahu, dalam seminggu tu, ada air yang tumpah bila dituang ke gelas. Akibat teringatkan aku.

"Lelaki sukar untuk bergraduasi jika ada subjek Memahami Wanita dalam silibus", betulkah?

Jumaat, Ogos 7

Suatu hari (yang menyayat hati, boleh jadi)

Aku terjaga. Lelaki, biasalah. Terjaga pada 9 atau 10 pagi perkara yang agak biasa.

Aku lihat kipas. Berpusing. Terus berpusing. Dan tiba-tiba semakin perlahan. Nyahpecutan. Halaju sudut berkurang, dan mencapai halaju sifar. Tiada siapa menyentuh suis. Aku mula bangun. Diod pemancar cahaya pada komputer riba turut padam. Tiada elektrik.

Aku, kool. Tarik tuala, letakkan penampal gigi pada berus, terus ke depan pintu bilik. Depan pintu bilik aku ada bilik air. Cuma di aras ini, fikir aku. Usai semuanya, aku keluar ke kelas. Diod cahaya pada lift juga padam. Julat kebarangkalian aku menjadi makin besar. Aku mula menyangka seluruh kolej sedang menghadapi krisis elektrik.

Aku turun tangga. Aras 5 ke aras 1. Dengan 4 kali pusingan, aku sampai ke tanah. Sekeping not biru aku keluarkan untuk mengalas perut dengan hanya air kotak. Air kotak dan not biru bertukar tangan. Lalu aku tunggu bas. Seperti biasa fikiran sedikit melayang dengan lelagu malar hijau dalam bas.

Sampai di kelas, gelap juga. Sah, seluruh kampus selatan punya krisis sama. Aku mula berfikir yang dompet aku tiada wujudnya sebarang not-not untuk aku gunakan untuk makan tengahari. Mesin wang juga sudah pastinya tidak berfungsi.

Selesai kelas, aku ke tabung wang. Gelap. Semua mesin wang kelihatan tidak bernyawa. Aku kelaparan. Ke perpustakaan. Cuma sesetengah lampu terbuka. Ada generator, mungkin. Aku isi kepala aku dengan berita-berita negatif di dada koran. Dan perut aku mula, memainkan lelagu indie yang menjadi kegilaan anak-anak muda sekarang. Pedih.

Cuma ada satu cadangan : balik ke bilik, ambil syiling hampir 5 ringgit, dan beli makanan. Sekali lagi, aku tunggu bas. Melayan malar hijau, dan sampai ke kolej. Ahh..aku masih perlu naiki tangga! Aku keletihan, dan terus baring sesudah sampai di bilik. Aku tak sedar samada aku terlelap atau tidak.

Aku sedar. Berangin. Kira-kira pukul 3 setengah. Kipas mula berpusing, yay! Aku keluar bilik, turun tangga. Aku masih ketakutan untuk gunakan lift ketika itu. Kau boleh imajin kalau tetiba kuasa elektrik hilang kembali ketika kau di dalam perut lift? Ngeri. Aku rela turun melalui tangga. Ke mesin duit berhampiran.

Dan, perut aku mula senyap ketika itu. Tadi pedih, sekarang baik pula. Gelenya. Tapi aku makan juga. Makan tengahari pada pukul 4 petang.

Moral : Jangan biarkan dompet anda sunyi tanpa not-not berharga. Paling kurang pun not hijau, cukup untuk nasi dan segelas jagung.

Isnin, Ogos 3

Kuliah petang Jumaat

Petang Jumaat. Aku kira bukan aku sahaja tertelan kapsul mengantuk. Menguap. Jam 3 perlu ke dewan bedah minda, hampir dengan tempat kejutan elektrik. Kuliah itu mengajar aku untuk menjual, dan mengambil peluang serta risiko.

Perlahan, tetapi mencuit hati. Pensyarah itu, walaupun tubuhnya agak kasar. Selalu berjenaka. Beliau terangkan pengenalan kepada keusahawanan.

Beliau beri contoh. Bill Gates, pandai mencari peluang. Katanya. Sehingga Microsoft kini telah jauh dihadapan berbanding IBM. Beliau berikan lagi, contoh.

Boss Apple tu, siapa? Pensyarah itu.

Steve Jobs. Budak selekeh berkaca mata menjawab.

Ya, Steve Jobs. Lalu pensyarah bercerita mengenai Steve Jobs yang dibuang kerja di syarikat yang beliau sendiri asaskan.

Beberapa pasang mata melihat budak selekeh itu. Depan, sebelah kanan, dan belakang. Mungkin ramai yang fikir budak selekeh itu kurang kepandaiannya dalam semua benda. Oh, mereka silap. Budak selekeh itu kool sahaja. Masih gilakan iPhone 3G. Masih.