"Hadirmu bagaikan bidadari. Melengkapkan langkahku yang terhenti."


Alergi terhadap sesuatu yang segera

Seminggu aku di Lembah Klang, bantu abang ke Baling. Kuala Pegang. Ada majlis kahwin. Hari seterusnya kami ke Tengah Lembah. Maklumlah, aku belum kenal Lembah Klang, jadi abang aku bawa berjalan.

Naik teksi untuk ke stesen komuter terdekat. Radio pak cik teksi itu kedengaran lagu Inggeris. Jari pak cik mencari punat menukar stesen, sambil mata menumpu ke hadapan, mengemudi kenderaan putih-merah itu.

“Ingin dirimu, dekat di hatiku. Berdua kita kan raih bahagia”

Abang aku yang duduk di hadapan menoleh. Menjeling. Aku buat bodoh. Masa ni lah lagu Aril ada. Kalau lagu Bangang tu tak apa lah juga, walaupun aku juga tidak menggemari penyanyinya. Err..maksud aku, lagu Bengang.


Peningkatan produktiviti agensi kerajaan

Salam 1Malaysia.

Isnin lalu, aku bersama abang aku ke agensi kerajaan sekitar Sri Rampai. Sampainya kami di sana, makhluk homo sapiens (condong, kerana nama saintifik) bersusun seolah domino sampai ke luar. Kami ambil borang, isi dan beratur. Hampir sejam. Apabila sampai di kaunter, kad pengenalan biru abang aku kerosakan kepingan logam keemasan. Aku pula mengambil keputusan untuk menemani abang aku keluar pejabat jabatan berkenaan.

Namun, agensi kerajaan ini telah mengajar aku erti kesabaran. Sejam beratur seperti domino, bukan semua manusia mampu melakukannya. Aku dan abang aku merupakan insan terpilih yang dapat membuktikan tahap kesabaran yang agak tinggi. Kad pengenalan biru abang aku yang kerosakan itu juga telah menambahkan kerja abang aku untuk membuat kad baru. Hal ini sekaligus mengurangkan aktiviti goyang kaki di agensi kerajaan lain yang bertanggungjawab terhadap kad berkenaan. Melalui kerosakkan kepingan berkenaan juga, menyebabkan pakar-pakar kajian dan pembangunan (research and development) menjalankan kajian terhadap kualiti kad pengenalan berkenaan dan juga dari segi keselamatan.

Pembukaan kaunter hanya beberapa kaunter, walaupun wujud berbelas-belas kaunter pada agensi berkenaan, juga menunjukkan kerajaan memandang serius tentang jawatan kosong yang terdapat dalam agensi. Hal ini menyebabkan rakyat Malaysia yang tiada pekerjaan berpusu-pusu untuk memohon jawatan kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Apa tidaknya, bekerja di sektor kerajaan memberi keselesaan yang amat dari pelbagai segi. Pembelian kereta tanpa bayaran pendahuluan, pelbagai elaun, dan yang paling penting kenaikan gaji berdasarkan peperiksaan PTK. Ini akan membuatkan pekerja kerajaan lebih kompetitif dalam merebut kenaikkan gaji tanpa menghiraukan jumlah gaji yang dinaikkan.

Apa yang kerajaan lakukan adalah demi kebaikan rakyat.

*Sarkastik berakhir.