"Hadirmu bagaikan bidadari. Melengkapkan langkahku yang terhenti."


Ke arah seorang Kelantan berkualiti

Kurang lebih lima tahun lampau, usai Sijil Pelajaran Malaysia, aku menerima tawaran ke Universiti Selatan. Setelah transit di Kuala Lumpur, kami bergerak ke selatan. Aku bersama abang-abang dan seorang teman abang aku menaiki kenderaan pelbagai guna.

Di sana aku ditempatkan dengan seorang yang berasal dari Cheras. Kalau tidak silap aku. Aku bukannya mahir sangat dengan nama tempat di Lembah Kelang. Setelah kami sebilik hampir lima atau enam bulan, dia bercerita kepada aku.

Dia bercerita. Pada mula dia sebilik dengan aku, dan ketika dia ingin menghantar keluarganya pulang, abangnya berpesan. “Jaga diri baik-baik, roommate kau orang Kelantan tu”. Dan setelah itu dia menyatakan bahawa aku telah membuktikan bahawa tidak semua orang Kelantan seperti yang disangkanya.

Dan, aku ingin mengucapkan tahniah kepada bekas rakan sebilik aku itu. Penerima Anugerah Canselor pada Majlis Graduasi Universiti Selatan tahun lalu. Penerima Biasiswa DiRaja dan baru sahaja terbang ke United Kingdom, melanjutkan pengajian Doktor Falsafahnya. Aku tumpang bangga. Tumpang, kerana aku tidak sehebat itu.

0 comments