"Hadirmu bagaikan bidadari. Melengkapkan langkahku yang terhenti."


Entri ambil mood (untuk kembali berblog)

Petang semalam saya lari daripada kesunyian yang biasa saya alami. Saya ambil tindakan untuk ke perpustakaan. Di sana saya boleh juga mencuci mata saya sedikit dengan memandang penciptaan Tuhan yang cantik, bertudung dan muslimah. Sekaligus memujuk hati saya sendiri bahawa bunga bukan sekuntum, kadang kala sejambak. Saya juga memujuk hati bahawa saya adalah kumbang terpilih yang akan dijodohkan dengan bunga rafflesia.

Petang bukanlah statik, dan jam beransur ke angka lima. Saya perlu balik ke kolej kerana perpustakaan tidak menyediakan katil untuk saya bermalam seperti Tune Hotel Kota Bharu. Malah di Tune Hotel yang menyediakan katil pun mengenakan caj untuk menggunakannya. Seperti biasa pelajar yang tiada mempunyai kenderaan seperti saya tiada pilihan selain menaiki bas putih yang dipandu abang yang menikmati kacang goreng sambil memutarkan stereng bas.

Saya sedikit terliur untuk juga menikmati kacang goreng. Lalu saya ke arked berdekatan, memilih kacang goreng yang tidak semahal abang driver bas. Harapan saya cuma satu, saya tidak akan terliur kacang goreng abang driver bas itu kerana saya sudah memiliki kacang goreng sendiri.

Sebelum sempat saya melangkah ke perhentian bas, hujan pun turun. Menyimbah-nyimbah. Saya, sambil menunggu hujan reda, memerhatikan ramai kelibat manusia yang lari daripada terkena rahmat Tuhan ini. Sesekali saya buka cermin mata saya dan mengelap dengan hujung baju. Hujan yang maha lebat itu masih tiada tanda keredaan.

Saya terkandas di arked itu beberapa ketika. Saya koyakkan hujung paket kacang goreng murah dan menikmatinya satu persatu. Untuk pengetahuan, kacang goreng merupakan juadah wajib di hari raya. Juadah wajib ini dihabiskan oleh tuan rumah, dan bukannya saudara mara atau sahabat handai yang datang beraya.

Dalam kekandasan itu saya lihat kelibat dua orang kawan lama, tetapi saya tidak menegurnya kerana masing-masing bersama kawan-kawan mereka, sedangkan saya ketika itu keseorangan. Malu juga saya jika diejek memakai kasut Carrefour dan cermin mata sellotape oleh kawan lama saya itu. Jadi saya mengambil keputusan untuk berdiam diri.

Hujan semakin reda. Saya melangkah keluar dari arked cepat-cepat menuju ke perhentian bas. Dan apabila saya menaiki bas, saya terliur abang driver makan kacang goreng kerana kacang goreng saya sudah saya habiskan ketika menunggu hujan reda di arked tadi.

3 comments

  1. saya juga sukakan kacang

  2. saya suka kacang tanah..err

  3. ais kacang, nyum nyum