"Hadirmu bagaikan bidadari. Melengkapkan langkahku yang terhenti."


11 Tahun Lalu: Episod 1

Agak lama saya tinggalkan mesin masa berkuasa enjin cahaya W20 ini. Masa depan itu menakutkan. Jadi, elok jika saya ke masa lalu. 11 tahun sehari dan beberapa jam yang lalu.

**********

Petang 29 Mac 2000 saya fikir adalah sama seperti petang-petang biasa bagi saya. Saya keluarkan BMX kromium saya dari ruang dapur. Barang rare memang kena simpan dalam rumah, bahaya. Destinasi saya sama setiap hari, ke padang kompleks sekolah-sekolah. Di kompleks itu ada dua sekolah rendah dan empat sekolah menengah dengan sebuah padang yang luasnya memuatkan kira-kira empat padang bola sepak bersaiz piala dunia dan satu padang bersaiz kanak-kanak.

Kini sudah wujud stadium mini di padang itu kerana penaiktarafan salah sebuah sekolah sebagai sekolah sukan Kelantan. Saya tidak mahu cerita. Yang pasti bukan sekolah saya. Ya, sekolah abang saya. Saya dengki.

Petang itu seperti biasa saya berbasikal dengan bernyanyi-nyanyi di dalam hati. Waktu itu dalam hati cuma ada keinginan kanak-kanak. Tiada memikirkan permasalahan orang dewasa seperti kini. Peperiksaan yang akan dihadapi cuma UPSR. Cinta monyet pun tidak berbalas mengurangkan lagi komitmen selain kepada menghiburkan diri sendiri.

Saya pernah masuk kumpulan nasyid sekolah rendah. Ketua kumpulan nasyid itu sekarang sudah bergelar artis. Okay, sambung balik cerita.

Daripada rumah, saya kayuh beberapa ratus meter basikal BMX yang ada sedikit lapisan oksida pada handlenya. Melepasi pam minyak, perkuburan, kedai kek dan kedai permainan video yang saya selalu juga beli airkrim 10 sen yang boleh dipatahkan dan dibahagi dua. Akhirnya tersergam gerbang kompleks sekolah-sekolah persis tugu A Famosa. Kini sudah dicat baru.

Kayuhan saya kadang-kadang laju kadang-kadang perlahan. Ada kala saya mengambil masa kayuhan saya untuk beberapa tiang elektrik dan memecahkan rekod sendiri.

Saya teruskan kayuhan sambil melihat ke arah abang-abang sekolah menengah yang sedang bermain bolasepak secara suka-suka juga secara serius di bawah kendalian sekolah masing-masing dan ada juga kendalian Pak Mael Raja Lawak 1. Ya, saya serius, beliau merupakan jurulatih bolasepak indie di kawasan itu.

Tiba di hadapan pintu pagar sekolah elit, saya berfikir untuk berpatah balik. Entah kenapa, saya lupa. Mungkin kerana saya tiada arah tuju, hanya bermain-main di situ. Lalu saya buat pusingan U.

BANG!

BMX kesayangan saya dilanggar. Kami sama-sama jatuh di tepi jalan. Sebuah kereta Datsun (barangkali) berhenti mengejut di birai jalan. Saya bangun untuk mengangkat BMX saya.

Dan saya rasa tangan saya pelik. Kelihatannya juga pelik.

**********

Bersambung dululah. Macam panjang je. Maaflah, tidak menulis untuk beberapa hari kerana ketidak tenangan hati. :)

3 comments

  1. awak xtenang, saya lagi xtenang

    -f

  2. hati tak tenang?


    jangan begitu

  3. aaaa eksiden?ni mesti yg pth tgn tu.eh takpe ke aku buat kntoi dulu ni?haha