"Hadirmu bagaikan bidadari. Melengkapkan langkahku yang terhenti."


11 Tahun Lalu: Episod 1

Agak lama saya tinggalkan mesin masa berkuasa enjin cahaya W20 ini. Masa depan itu menakutkan. Jadi, elok jika saya ke masa lalu. 11 tahun sehari dan beberapa jam yang lalu.

**********

Petang 29 Mac 2000 saya fikir adalah sama seperti petang-petang biasa bagi saya. Saya keluarkan BMX kromium saya dari ruang dapur. Barang rare memang kena simpan dalam rumah, bahaya. Destinasi saya sama setiap hari, ke padang kompleks sekolah-sekolah. Di kompleks itu ada dua sekolah rendah dan empat sekolah menengah dengan sebuah padang yang luasnya memuatkan kira-kira empat padang bola sepak bersaiz piala dunia dan satu padang bersaiz kanak-kanak.

Kini sudah wujud stadium mini di padang itu kerana penaiktarafan salah sebuah sekolah sebagai sekolah sukan Kelantan. Saya tidak mahu cerita. Yang pasti bukan sekolah saya. Ya, sekolah abang saya. Saya dengki.

Petang itu seperti biasa saya berbasikal dengan bernyanyi-nyanyi di dalam hati. Waktu itu dalam hati cuma ada keinginan kanak-kanak. Tiada memikirkan permasalahan orang dewasa seperti kini. Peperiksaan yang akan dihadapi cuma UPSR. Cinta monyet pun tidak berbalas mengurangkan lagi komitmen selain kepada menghiburkan diri sendiri.

Saya pernah masuk kumpulan nasyid sekolah rendah. Ketua kumpulan nasyid itu sekarang sudah bergelar artis. Okay, sambung balik cerita.

Daripada rumah, saya kayuh beberapa ratus meter basikal BMX yang ada sedikit lapisan oksida pada handlenya. Melepasi pam minyak, perkuburan, kedai kek dan kedai permainan video yang saya selalu juga beli airkrim 10 sen yang boleh dipatahkan dan dibahagi dua. Akhirnya tersergam gerbang kompleks sekolah-sekolah persis tugu A Famosa. Kini sudah dicat baru.

Kayuhan saya kadang-kadang laju kadang-kadang perlahan. Ada kala saya mengambil masa kayuhan saya untuk beberapa tiang elektrik dan memecahkan rekod sendiri.

Saya teruskan kayuhan sambil melihat ke arah abang-abang sekolah menengah yang sedang bermain bolasepak secara suka-suka juga secara serius di bawah kendalian sekolah masing-masing dan ada juga kendalian Pak Mael Raja Lawak 1. Ya, saya serius, beliau merupakan jurulatih bolasepak indie di kawasan itu.

Tiba di hadapan pintu pagar sekolah elit, saya berfikir untuk berpatah balik. Entah kenapa, saya lupa. Mungkin kerana saya tiada arah tuju, hanya bermain-main di situ. Lalu saya buat pusingan U.

BANG!

BMX kesayangan saya dilanggar. Kami sama-sama jatuh di tepi jalan. Sebuah kereta Datsun (barangkali) berhenti mengejut di birai jalan. Saya bangun untuk mengangkat BMX saya.

Dan saya rasa tangan saya pelik. Kelihatannya juga pelik.

**********

Bersambung dululah. Macam panjang je. Maaflah, tidak menulis untuk beberapa hari kerana ketidak tenangan hati. :)


Planet Buruj

Saat nebula meluncur selaju cahaya itu saya nikmati pemandangan langit yang gelap. Tetapi langit itu ditatahkan dengan bintang-bintang, galaksi-galaksi dan tak terkecuali nebula-nebula seumpama yang saya naiki, namun berbeza bentuk dan warna.

Nebula akhirnya berhenti di suatu kawasan langit yang cerah. Tidak seperti dalam perjalanan tadi yang hanya ditemani kegelapan. Nebula-nebula lain turut ada disitu, berbagai-bagai.

"Kita dah sampai di terminal nebula. Ayuh.", kata Orion, serius. Saya berjalan membuntuti Orion. Kelihatan Orion berbual dengan seseorang di terminal. Kawannya, barangkali. Orion berpaling ke arah saya yang masih berdiri jauh daripadanya dan memerhati keliling. "Jangan jakun sangat okay. Aku tahu kau terkejut. Mari kita pergi minum dulu. Duduk-duduk dulu. Aku pulak yang belanja."

Saya senyum teruja. Pelik benar dunia atas langit ini. Mataharinya ada dua, bulannya ada beberapa. Mungkin kerana di langit ada banyak bintang, dan dua bintang itu hampir dengan alam langit ini. Mungkin sebab itu ianya kelihatan seperti matahari. Bulan-bulan itu pula mungkin bulan bagi planet alam langit.

Saya banyak diam dan memerhati, sambil mengikut sahaja langkah dan suruhan Orion. Makhluk-makhluk di sini semua ganjil-ganjil. Memang saya sudah agak, tapi masih terkejut kerana bayangan memang tidak sama dengan apa yang di depan mata.

Pelik. Makhluk-makhluk yang bertemu Orion kelihatan tunduk, persis hormat. Adakah Orion itu pemerintah, atau apa?

Kami singgah di sebuah bar. Tanda perniagaan bar itu seumpama bahasa Rusia. Mungkin bahasa dewa-dewa bintang. Kami duduk di meja luar kedai berbumbungkan langit yang agak gelap walaupun ada dua matahari.

"Signboard kedai minum ni tertulis 'Bar Aquarius'. Dan yang itu cuba kau teka dia tulis apa.", Orion menunjuk jari ke arah tanda kecil di dinding bahagian dalam kedai minum. Sambil tersengeh menampakkan baris gigi yang putih.

"Err..dilarang merokok?", saya tembak.

"Tak. WiFi ada di sini. Haha."


Perjalanan Ke Bintang

Kaki saya mula terapung daripada bumi. Saya cuba goyang-goyangkan. Ya, memang terapung. Namun mata saya masih terkatup. Takut dengan apa yang sedang saya hadapi. Entah Orion masih berada di sisi saya atau entah saya sudah terpesong daripadanya.

"Tidak. Aku ada. Jangan bimbang.". Orion mendengar saya berkata-kata dalam hati. "Bukalah mata, kalau berani. Hi hi.", kata Orion lagi. Memang menambahkan ketakutan saya. Saya cuba buka kelopak mata saya.

Saya melihat kami dikelilingi asap seolah-olah awan. Berwarna-warni. Kemerahan, jingga. "Kita tengah naik awan guling ke ni?", tanya saya.

"Awan guling warna putih. Ini nebula aku. Aku tahu kau tahu apa itu nebula. Tak perlulah aku nak terangkan.".

Ya, saya tahu. Nebula. Terdiri daripada debu-debu angkasa dan gas-gas yang ada di antara bintang-bintang. Lalu terbentuk asap-asap berwarna. Proses kelahiran dan kematian bintang juga menyebabkan nebula ini wujud. Saya agak meminati astronomi, dan Orion tahu itu.

Lama kelamaan kami bukan lagi berdiri menegak, tetapi seolah-olah semakin berbaring di atas nebula. Orion kelihatan menggumpal sedikit nebula dan mengalaskannya di bawah kepala. Namun saya cuma duduk bersila memerhati keliling yang asing pada saya. Mungkin Orion sudah bosan dengan keadaan keliling bila selalu turun ke bumi.

Nebula kami meninggalkan bumi begitu pantas. Tidak sangka bumi sudah menjadi hanya sebesar noktah.

"Lama lagi ke?", tanya saya.

"Sekejap je lagi. Nebula ni adalah cahaya. Jadi lajunya juga laju cahaya.".

"Jadi dengan laju cahaya kita bolehlah ke masa lampau?"

"Mengarut. Jangan percaya sangat Stephen Hawking. Dia atheist. Cakap pakai sedap otak."

Mengeluh kecil saya. Baru saja saya mahu cuba kembali ke masa lampau.

"Nak tengok Discovery Channel, NatGeo, History Channel boleh. Bukan tak boleh. Tapi kalau pasal teori apa-apa ni jangan percaya sangat. Freemason semua tu. Hi hi.", sempat lagi Orion berlawak. Mungkin dia nampak air muka serius saya untuk kembali membetulkan sesuatu pada masa lalu.

Nebula Orion masih meluncur laju.


Rebiu Lambat Hikayat Merong Mahawangsa


Saya boleh hitung dengan jari tangan saya berapa kali saya ke panggung wayang, dan ini kali kedua saya pergi berseorangan, selepas Transformers: Revenge Of The Fallen. Entah kenapa saya agak berkeras untuk ke panggung. Mungkin sebab saya ingin hilangkan sunyi. Atau mungkin juga saya ini jenis yang minat sejarah. Minat sejarah, tapi sebelum ni saya tak tahu Hikayat Merong Mahawangsa itu ceritanya perihal apa. Fail!

Saya tak akan ceritakan sinopsis di sini. Rasanya sudah banyak rebiu mengenai sinopsis. Rebiu adalah pandangan sendiri, kan? Filem ini yang berunsur aksi, juga diselit dengan humor. Watak Merong Mahawangsa sendiri, dan Ying Ying, dayang kepada Puteri China. Selain itu, Dialog-dialog Kemawas, kepala lanun Garuda juga agak membuatkan saya ketawa kecil. Tidak padan dengan ganas bagi saya. Bahasa-bahasa yang digunakan memang kena dengan jiwa saya, agak sastera. Boleh saya katakan hampir setanding dengan bahasa filem Puteri Gunung Ledang.

Dua kali juga sidang penonton tepuk tangan dalam dewan panggung. Tiga kali termasuk apabila kredit.

Ada yang mengatakan tidak berbaloi menonton. Ada juga yang katakan berbaloi. Bagi saya mudah, manusia ini berbeza. Penilaian manusia juga subjektif. Mungkin bagi mereka filem ini tidak bagus, tetapi bagus bagi kamu. Kalau kamu ada niat untuk pergi menonton, silakan. Kalau nak tunggu DVD, pun boleh.

Saya beri 3.75 daripada 5 bintang. Tetapi bagi aksi dan kesan khas, saya beri 4.5.

Ini pandangan peribadi saya. Sepatutnya filem sebegini diperbanyakkan. Mungkin lebih kepada sejarah fiksyen. Dan kostum dan bangunan yang diguna pakai dalam filem sejarah sebegini sepatutnya menunjukkan kehebatan tamadun Melayu. Err..mungkin ada yang tak faham. Tak apa, abaikan. He he.


Monolog 3: Biskut dan Susu

Menikmati biskut Chips More dengan sekotak susu segar rasa menenangkan. Tambah menenangkan apabila telinga menikmati lagu-lagu ringan dan senang.

Saya celup Chips More ke dalam susu lantas saya nikmatinya.

Saya berharap awak akan hadir menemani saya saat-saat begini. Walaupun biskut dan susu hanya empat ringgit. Menikmati sesuatu yang murah bersama awak adalah suatu yang mahal bagi saya. Menemani tanpa berkata-kata pun sudah cukup untuk menghilangkan sunyi dan sepi saya sendiri selama ini.

Saya teguk susu segar yang tawar itu.

Saya percaya waktu itu akan tiba. Dan saya akan terus menunggu awak yang bakal menemani hidup saya.


Penjelasan Kelmarin


Kenapa saya merasakan bahawa perempuan yang muslimah itu adalah Singaporean, dan bukannya Johorean atau Malaysian umumnya? Kerana beberapa sebab.

Saya pernah ke Singapura tahun lalu, sebagai second photographer bidan terjun abang saya. Kawannya berkahwin dengan perempuan Singapura. Saya pernah menulis mengenai perjalanan ke Singapura, namun terhenti akibat kemalasan untuk menulis. Majlis perkahwinan itu diadakan di Geylang. Pada majlis itu saya boleh menghitung dengan jari sahaja bilangan perempuan dewasa (kanak-kanak lain ceritalah) yang berambut bebas. Tapi yang berambut bebas, pun berpakaian sopan.

Tapi saya akui ada juga masyarakat Islam Singapura yang tidak begitu.

Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya, photographer bagi pengantin perempuan meminta izin dengan ibu pengantin untuk mengambil gambar sebelum majlis akad nikah. Saya rasa itu tidak berlaku di Malaysia, atau kurang berlaku barangkali.

Mungkin sebab sukar untuk saya dapat lihat perempuan sebegitu di tempat saya. Dan saya pula pernah melihatnya di seberang Selat Tebrau. Tengoklah bagaimana kalau ada yang bertudung pun. Yang tidak apatah lagi.

Satu lagi perkara yang agak tertarik dengan masyarakat Melayu Singapura - bahasanya. :)


Cerita Sabtu Saya

Semalam saya keluar awal dari bilik. Jam 11 saya sudah melangkah turun. Destinasi pertama saya adalah ke 7E untuk membeli beberapa butir Hacks kerana batuk-batuk yang agak teruk seminggu ini. Sudah lah malam itu saya tidak dapat tidur kerana batuk-batuk. Berjagalah saya membuka laptop keseorangan cuma. Ayat pun dah macam Merong Mahawangsa. Gila.

Dalam perjalanan itu juga saya mencari sebungkus nasi lemak. Lama benar tidak saya nikmati. Di rumah, emak selalu juga beli nasi lemak di kedai depan rumah. Sambalnya sedikit manis dan tidak pedas. Kena dengan selera saya, dan sudah pasti tidak kena dengan selera orang Negeri Sembilan.

Malangnya nasi lemak gagal saya jumpai. Saya terlebih dahulu terjumpa bas untuk ke City Square. Berlari-lari bapak juga saya. Takut nanti lambat pula jika bas ini terlepas daripada dinaiki. Alhamdulillah, sempat akhirnya. Saya bayar tambang RM 3.70 dan mencari-cari tempat duduk yang tidak disimbah mentari.

Perjalanan setengah jam itu melalui kawasan-kawasan pesat membangun seiring dengan pembangunan Iskandar Malaysia. Okay, ayat ini serius macam dokumentari memuji BN. Flyover bersimpang siur. Mall kanan dan kiri. Deretan showroom kereta mewah. Tapi mata saya cuma pandang pada showroom BMW semata-mata. Owh, 3 Series Coupe! Kebetulan semalam dan hari ini ada karnival yang TV3 anjurkan di Danga Bay. Entah apa nama karnivalnya, saya tidak tahu. Ha ha!

Saya sampai di pusat bandaraya dan ke tingkat lima pusat beli belah. Takut-takut penuh pula panggung wayang nanti. Merong Mahawangsa pukul 2.10. Saya turun semula dan terus saya mencari nasi lemak. Sedang saya nikmati nasi lemak, mata saya terpandang pada dua perempuan. Kedua-duanya bertudung. Cuma bezanya hanya pada umur. Mungkin seorang ibu dan seorang lagi anak. Yang anak itu sangat muslimah saya rasa. Perempuan Singapura barangkali.

Jahatkan saya, beranggapan perempuan Singapura itu lebih muslimah? Mungkin bukan beranggapan, cuma teringatkan. Ada sebabnya.

Menunggu masa tayangan 2.10 sambil berjalan-jalan dalam pusat beli belah memang agak membosankan. Jadi saya ambil keputusan untuk ke MPH. Manalah tahu ada buku-buku yang tidak diwrap dan boleh dibaca. He he. Sehinggalah jam 1.30 saya ke surau menunaikan kewajipan muslim sepenuh masa. Dan terus masuk panggung. Kalau ada idea saya akan rebiukan.

Seperti biasa saya pulang dijemput bas 503 Taman Universiti, dan sekali lagi menaiki bas dari sana memasuki kampus. Saya kembali ke dunia kecil saya semula.

Kamu tak rasa ending entri ni agak simple ke? Saya rasa macam simple sangat. Starting panjang. :P


Monolog 2

Saya tersekat antara dua dimensi. Dua jalan yang saya tidak tahu yang mana satu saya akan ambil. Jika kamu ingat ada poem bertajuk The Road Not Taken menengah rendah dahulu, ha, lebih kuranglah. Kadang-kadang timbul jalan-jalan lain yang menjadi opsyen saya.

Tapi saya masih buntu untuk menentukan. Takut kesalahan berulang. Takut belum sampai masa. Takut kehilangan. Tapi ada orang kata, belum cuba belum tahu.

Saya tahu ini sesuatu yang bagus, kerana saya mungkin boleh melupakan kedukaan yang lama dengan memikirkan jalan mana yang saya perlu pilih. Biarlah walaupun belum buat keputusan, memikirkannya sudah membuatkan kepala saya sibuk berfikir dan melupakan kesedihan. Tapi bagaimana jika apa yang saya fikir ini juga melibatkan kesedihan jika tersalah membuat keputusan?

Hidup, memang penuh dengan pilihan. Kan? Kalau begitu hidup ini tidak ubah seperti flowchart, barangkali. Tapi, sedar atau tidak, kita hanya pelakon yang melakonkan suatu skrip yang sudah wujud sebelum kita lahir lagi. Berserah diri dan mengimani qada dan qadar itu lebih sukar daripada sekadar hanya melafazkan dengan ulas bibir.

Semoga saya, kamu, kuat dalam menghadapi hidup di sini. Di muka bumi ini.


Dongak ke langit

Saya menghabiskan nasi putih ayam kunyit saya. Orion pula membuat isyarat mata, ingin ratah telur dadar. Saya angguk. Fikiran saya tertanya-tanya apa yang ingin Orion ceritakan pada saya sekejap lagi. Saya lengahkan masa dengan menonton televisyen di kedai makan itu. Orion pula memandang ke arah gerai sate bersebelahan.

"Jom. Jalan slow-slow." kata Orion yang seakan kebosanan. Kesian pula saya.

Saya angkat tangan. Kakak yang memakai perfume Safi Puteri tadi datang kira. Not merah bertukar tangan. Not biru dan beberapa keping syiling jatuh pada telapak tangan saya sebagai baki.

Langkah kaki kami melepasi tiga deret rumah kedai. Pusat snuker, bengkel kereta, kedai akuarium dan beberapa kedai runcit Cina dan India Muslim. Selepas itu gerai burger. Di belakang gerai burger itu ada taman perumahan Melayu. Manakala di seberang jalan pula taman perumahan bangsa-bangsa lain. Itu menurut pakcik driver teksi yang pernah saya naiki. Bukan saya pandai-pandai buat cerita.

Orion berhenti melangkah. Dan mendongak ke langit. "Orion tak ada di langit. Kau perasan tak?". Saya angguk. Memang semasa turun dari blok tadi pun saya tidak nampak bintang tiga beradik milik Orion.

"Sebab aku di sini, bersama kau. Kesian pula pelayar-pelayar yang nak gunakan aku sebagai penanda arah."

"Err..bukan sekarang dah pakai GPS ke? Err.."

"Ha'ah ya. Tak apa. Aku ingat nak bawak kau ke atas. Mahu?"

"Serius? Boleh ke?"

"Aku cuba. Dongak ke langit. Pejamkan mata bila kau rasa titisan hujan pertama."

Saya turuti. Langit yang cerah mula kelihatan kemerahan. Awan entah dari mana. Saya lihat Orion juga mendongak. Saya rasa pipi saya ditampar lembut titis-titis kecil hujan. Saya tutup mata perlahan.

Dan saya rasa kaki saya tidak memijak tanah lagi.


Gagak tersisih: Episod 3


Sambungan daripada Gagak Tersisih: Episod 2

Merpati tergelak kecil. Dalam senyuman yang masih dibibir (diparuh, mungkin?), merpati menghabiskan jambu manis tanpa meninggalkan sedikit pun keayuan sebagai merpati. Gagak juga mematuk jambunya, tetapi sedikit-sedikit, sambil ia memerhatikan kepada merpati.

Merpati menghabiskan jambu, dan membaling biji jambu ke bawah. Biji jambu jatuh pada bonet kereta saga lama yang tersadai di bahu jalan taman itu.

"Ibu ada cerita pasal awak." Merpati hinggap pada dahan yang sama dengan gagak. Merpati selangkah mendekati gagak. Gagak hanya melihat merpati, tetapi pandangannya menampakkan rasa ingin tahu yang mendalam. Bagaimana pula ibu merpati mengetahui tentangnya?

"Ibu pernah bercerita. Gagak ini cerdik burungnya. Dulu, zaman ibu saya muda-muda, ada burung bercerita mengenai kecerdikan gagak yang merantau. Tiba-tiba dalam penerbangan itu, gagak merasa dahaga, lalu ia terbang rendah untuk mencari air. Ia nampak balang berisi air."

"Dan gagak itu dapat minum air. Apa cerdiknya gagak macam saya ini? Saya tidak nampak pun kecerdikan di situ?" gagak menyampuk.

"Ishk, cerita belum habis lagi awak dah menyampuk. Dengarlah dulu."

Merpati senyap seketika. Mungkin kerana ingin mengambil mood bercerita yang telah dispoil gagak sebentar tadi. Nafas ditarik dalam-dalam, kemudian dihembus perlahan. Dan saya rasa kamu yang membaca juga tahu akan cerita kanak-kanak ini.

"Gagak itu tak dapat minum air dari dalam balang sebab airnya cuma sedikit. Paruh gagak tidak sampai untuk meneguk air. Lalu gagak mendapat akal. Ia terbang mencari batu-batu kecil dan memasukkan ke dalam balang."

"Apa yang jadi kalau buat begitu?" gagak menyampuk, sekali lagi.

"Cubalah buat." lalu merpati terbang. Sebelum pergi, merpati berkata "Esok kita jumpa lagi, di sini. Tau."

Gagak angguk. Ia berfikir mengenai ayat terakhir cerita merpati tadi.


Motivational Quote 1


Saya pernah upload gambar ini di Facebook saya. Kamu ada Facebook? Sila add saya tanpa segan silu.

Dan, entri ini ringkas, sangat ringkas. Sebab petang nanti saya akan ke Batu Caves, rumah Mardhiah. Masa agak suntuk untuk entri. Sebenarnya saya tak suka alasan ini, sungguh. Dua-tiga hari juga di sana. Entri Orion dan gagak biarlah kamu menjadi lebih tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya.

Selamat hujung minggu!


Monolog 1

Bulan separuh purnama sudah kelihatan jingga pekat, hanya menunggu bersembunyi disebalik gunung pulai di ufuk barat. Hampir satu pagi. Udara dingin dari gunung pulai bergerak bergeseran dengan dedaun kelapa sawit yang ditanam berteresan. Udara dingin itu kemudian berlingkar berpusar di tubuh saya.

Mata saya hanya menunggu terkatup. Keinginan saya yang memaksa ianya masih terbuka. Saya belum mahu tidur, masih mahu melayan teknologi ciptaan manusia. Teknologi inilah yang membuatkan saya tidak berasa sunyi keseorangan. Facebook, Twitter dan blog menjadi penghubung antara manusia yang belum pernah bertemu muka.

Dua tiga malam ini tidur saya pastinya terhenti seketika sekitar jam lima. Saat sunyi itu mengingatkan saya kepada kenangan pedih. Cepat-cepat saya katup semula kelopak mata saya daripada terus mengelamun kenangan lampau yang sememangnya tidak akan kembali, kerana benda yang paling jauh daripada kita adalah masa lampau.

Buat masa ini biarlah hati saya tenang dengan hidup saya sendiri. Mengikut acuan saya. Terima kasih Tuhan kerana pernah menganugerahkan cinta kepada saya. :)

Ahh..saya menulis tanpa tujuan lagi.

Entri ini saya tulis beberapa minggu lepas. Tertunda dek entri-entri saya yang tidak personal. Kamu layankan saja entri personal syok sendiri ini, ya? :)


Gagak tersisih: Episod 2


March, please be awesome. :)

Klik sini untuk Gagak Tersisih: Episod 1

Sekumpulan merpati melewati taman perumahan. Gagak menutup kepalanya dengan sayap sebelah kanan, supaya tidak ditegur apatah lagi diejek merpati. Tapi bukankah sekiranya ia menyembunyikan wajah disebalik sayap, badannya yang lain masih kelihatan? Walaupun ia sendiri merasa perbuatan itu bodoh, ia teruskan jua tanpa berganjak. Kaku begitu.

Kawanan merpati terbang melewati pokok rendang. Kecuali seekor merpati yang tertinggal dan terlihatkan gelagat seekor gagak. Merpati lantas berpatah balik dan hinggap di dahan pokok rendang, namun bertentangan dengan si gagak. Perlahan-lahan merpati memilih jambu, yang manis-manis juga.

Tiada bunyi sayap bergerak lagi. Tiada lagi bunyi merpati berterbangan lagi. Gagak pasti merpati semuanya sudah melewati. Lalu dikeluarkan kepala daripada lindungan sayapnya. Matanya bundar terkejut. Seekor merpati cantik sedang menikmati jambu di hadapannya.

Merpati senyum. Senyum merpati tidak nampak sinis di mata gagak. Tenang, lembut, baik. Bukan seperti kaum burung lain yang jika senyum juga tersulam sarkasm.

"Hai.", gagak beranikan diri, dengan muka cuak ia berkata begitu. Parkinson burung tiba-tiba tercetus. Menggeletar tubuh dek kecuakan.

"Hi hi. Kelakarlah. Relax, saya bukan macam burung lain. Saya tahu pasal awak. Awak bukan yang macam burung-burung lain umpatkan. Kan?". Gagak angguk. Tunduk melihat tar di bawah dahan. Malu.

Sebuah motosikal EX5 Dream melintasi, ditunggang budak kecil tanpa helmet, memecah kesenyapan mereka berdua ekor. Asap hitam naik ke atas.

Merpati kelihatan mengibas-ngibas asap hitam dengan sayapnya. Gagak tidak. "Saya sudah sedia hitam, buat apa nak kibas lagi, kan? Hi hi." gagak mulakan humornya.